Wednesday, May 25, 2011

BeRkAbUng MenUrUt SyaRak



Assalammualaikum......
hari ni saya nk post tentang berkabung menurut syarak.....
oleh kerana saya dpt tajuk ni sebagai thesis.....
jadi saya nak kongsi dgn sahabat2.....


Berkabung ataupun ihdad menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah ialah: Meninggalkan berhias-hias samada dengan pakaian, barang kemas dan bau-bauan yang harum. (Raudhah Al-Thalibin, 8 / 405)
Ini bermaksud perempuan yang berihdad ialah perempuan yang meninggalkan perkara yang berkaitan dangan berhias dan apa-apa yang boleh merangsang umpamanya memakai minyak wangi serta bersolek. Tuntutan berkabung ini pada lazimnya hanyalah ditujukan kepada perempuan yang kematian suami selama iddahnya. Sementara lelaki tidak berkaitan dengan tuntutan berkabung ini.
Sebagaimana yang berlaku pada zaman jahiliah, perempuan yang kematian suami ada yang dikenakan berbagai pantang larang yang langsung tidak memberi keselesaan hidup di sepanjang tempoh iddah mereka. Hal ini dijelaskan di dalam hadits Baginda Rasulullah s.a.w. yang diceritakan oleh Zainab r.a.:Maksudnya: “Aku telah mendengar ibuku, Ummu Salamah berkata: “Telah datang kepada Baginda Rasulullah s.a.w. seorang perempuan lalu berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullah s.a.w., sesungguhnya anak perempuanku telah kematian suaminya, matanya nampak membengkak (kerana banyak menangis) adakah boleh saya mencelak matanya?” Maka Rasulullah s.a.w. pun menjawab: “Tidak (sebanyak dua atau tiga kali kesemuanya dikatakan Baginda:”tidak”)” Kemudian Baginda bersabda: “(Dia sepatutnya berkabung) selama empat bulan dan sepuluh hari, dan kalian tidak perlu meniru kebiasaan wanita Jahiliah (yang suka memanjangkan masa iddah dan tidak mahu celaka) dengan membuang kotoran haiwan pada awal tahun”. (Hadis riwayat Muslim)
Sebahagian anggota masyarakat hari ini, khasnya para isteri, memandang ringan akan tuntutan berkabung ini. Apa yang kita selalu saksikan hari ini, apabila kita menghadiri majlis penyempurnaan jenazah dan majlis bertahlil (semasa masih dalam tempoh berkabung), isteri si mati tersebut tidak menampakkan dirinya dalam berkabung atas kematian tersebut.

HUKUM BERKABUNG
Menurut ijma‘ para ulama, berkabung adalah wajib bagi wanita yang kematian suami. Di samping itu mereka berbeza pendapat tentang hukum ihdad bagi sesetengah perempuan yang bukan kematian suami, seperti kerana sebab ditalak.
Bagi perempuan yang beriddah kerana kematian suami, yang iddahnya ialah selama empat bulan sepuluh hari (kecuali bagi perempuan yang hamil, tempoh bagi iddah mereka ialah sehingga melahirkan) maka jumhur ulama telah bersepakat bahawa hukum ihdad atau berkabung di dalam tempoh iddah bagi wanita ini adalah wajib. Ini bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. seperti berikut: Maksudnya: “Tidak halal (haram) bagi wanita yang beriman dengan Allah s.w.t. dan rasulNya untuk berkabung ke atas jenazah selama lebih dari tiga hari kecuali bagi suaminya”.(Hadis riwayat Muslim)
Manakala perempuan yang beriddah kerana talak, para ulama’ sepakat bahawa perempuan ini tidak diwajibkan ke atasnya berkabung, kerana dia masih boleh dirujuk oleh suami. Malah ada ulama yang mengatakan adalah lebih utama baginya berhias-hias untuk menarik perhatian bekas suaminya supaya merujuknya kembali. Tetapi Abu Thaur pula meriwayatkan daripada salah satu pendapat Imam As-Syafi‘ie Rahimahullah bahawa sunat (mustahab) ke atasnya berkabung.
Perempuan yang di dalam tempoh iddah talak yang tidak boleh dirujuk oleh bekas suaminya kecuali dengan nikah dan mahar yang baru atau yang di dalam iddah talak yang tidak boleh dirujuk kecuali setelah bekas isterinya dinikahi dan diceraikan oleh suaminya yang baru dengan syarat-syarat yang tertentu juga dengan nikah dan mahar yang baru, maka bagi perempuan ini menurut Imam As Syafi‘ie dalam Qaul Jadid adalah tidak wajib ke atasnya berkabung kerana ianya beriddah kerana talak, sedangkan berkabung yang wajib itu ialah kerana kematian suami. Walau bagaimanapun adalah sunat hukumnya jika mereka berkabung.
Begitu juga bagi perempuan adalah harus bagi mereka berkabung jika sekiranya terjadi kematian di antara kaum keluarganya seperti ayah atau abang dalam tempoh yang telah diharuskan oleh syarak iaitu selama tiga hari atau kurang dan tidak boleh bahkan haram hukumnya jika melebihi tiga hari berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. riwayat Muslim di atas.
Walau bagaimanapun suami berhak melarang si isteri yang ingin berkabung kerana kematian salah seorang dari kaum keluarga si isteri, kerana berhias itu adalah hak suami yang mesti ditunaikan, oleh yang demikian si isteri hendaklah terlebih dahulu meminta izin kepada suami sebelum melakukannya.

Hikmah pensyariatan ihdad (berkabung)
Adapun diantara hikmah Islam mensyariatkan berkabung (ihdad) ini secara umumnya adalahsebagai menzahirkan rasa sedih terhadap kehilangan seseorang dengan cara yang terbatas dan terkawal, tidak seperti kelakuan orang-orang jahiliah apabila berlakunya kematian, mereka akan menangis dengan menjerit-jerit, menampar-nampar pipi serta mengoyak-ngoyakkan baju dan barbagai-bagai lagi perkara yang dilarang oleh syarak.
Perbuatan-perbuatan seperti di atas adalah perbuatan orang jahiliah yang tidak sepatutnya kita lakukan sebagaimana yang telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis Baginda yang maksudnya: “Tidak termasuk golongan kami mana-mana orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti teriakan orang jahiliah” (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Perbuatan berhias atau bersolek boleh menarik perhatian lelaki bahkan boleh membuatkan lelaki tergoda. Oleh sebab itu perbuatan sedemikian ditegah oleh Islam bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang buruk demi menjaga kesucian syariat Allah s.w.t. Berkabung adalah sebagai ganti diri suami yang telah tiada untuk megawal dan mengawas isterinya yang ditinggalkannya dalam tempoh waktu yang tertentu.

MELAKSANAKAN TUNTUTAN BERKABUNG
Berkabung adalah wajib bagi isteri yang kematian suami. Manakala berkabung bagi perempuan yang telah diceraikan suami dengan talak adalah sunat. Adapun bagi perempuan-perempuan yang kematian ahli keluarganya seperti abang atau bapanya pula adalah harus.
Rasulullah s.a.w. menggariskan cara tuntutan berkabung itu dengan memakai pakaian yang tidak menarik perhatian. Dengan erti kata lain tidak dibenarkan memakai pakaian yang berwarna terang dan berwarna-warni, pakaian ketat dan jarang yang boleh menampakkan bentuk badan dan seumpamanya selain haram, haram juga semasa dalam tempoh perkabungan. Hal ini digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabda Baginda yang bermaksud : “Seorang perempuan tidak boleh berkabung ke atas kematian seseorang lebih daripada tiga hari kecuali ke atas kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari dan pada tempoh berkabung itu dia tidak boleh memakai pakaian yang dicelup (berwarna-warni)”. (Hadis riwayat Muslim)
Memakai wangi-wangian atau haruman samada pada pakaian atau tubuh badan adalah juga ditegah sama sekali selagi mereka di dalam iddah. Hal ini ada disebut Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud : “……Dan jangan memakai bau-bauan yang harum, kecuali selepas dia bersih, itupun hanyalah daripada wangi-wangian jenis qusth atau azhfar”. (Hadis riwayat Muslim)
Larangan berhias itu termasuklah bercelak mata samada untuk tujuan berhias atau berubatkecualilah pada waktu malam jika ianya diperlukan. Ini termasuk juga mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir serta memasang kanta berwarna yang bertujuan untuk berhias. Larangan ini berdasarkan hadis Baginda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ummu Athiah r.a. yang bermaksud : "Kami telah ditegah untuk berkabung ke atas orang yang mati melebihi dari tiga hari kecuali ke atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari serta dilarang untuk bercelak mata dan memakai minyak wangi dan memakai pakaian yang berwarna warni”. (Hadis riwayat Al- Bukhari dan Muslim)
Berinai juga ditegah, sebagai mana hadis baginda Rasullullah s.a.w. Baginda bersabda yang bermaksud : “Tidak boleh bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk berkabung ke atas kematian seseorang lebih dari tiga hari kecualilah terhadap suaminya dan pada ketika itu ia tidak boleh bercelak mata dan berinai” (Hadis riwayat An-Nasa’ie)
Dari mafhum hadis ini, larangan tersebut termasuklah pacar kuku (cutex) yang digunakan untuk mewarnakan kuku.
Berhias dengan memakai apa jua jenis barang kemas samada cincin atau gelang yang diperbuat dari emas atau perak dan sebagainya adalah juga merupakan perbuatan yang ditegah. Larangan ini adalah jelas berpandukan hadis baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Perempuan yang kematian suami tidak boleh memakai barang kemas, tidak boleh bercelak mata dan tidak boleh berinai”. (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa‘ie)
Islam mengharuskan dan tidak melarang perempuan-perempuan yang berkabung melakukan perkara-perkara seperti mengurus rumah tangga, bersikat rambut tanpa menyapu minyak, memotong kuku, menghilangkan segala kotoran dan perkara-perkara yang bertujuan untuk kebersihan diri.
Dari penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa perempuan yang kematian suami adalah wajib berkabung dengan menghindarkan diri daripada melakukan sebarang tegahan di sepanjang tempoh iddahnya seperti berhias dengan pakaian yang menarik perhatian, berwangi-wangian, bercelak mata, berinai dan sebagainya menurut apa yang telah digariskan oleh syarak. Dari itu sayugia diingatkan bagi perempuan yang diwajibkan berkabung ini supaya mengambil berat akan tuntutan ini kerana jika ianya tidak ditunaikan dan dilaksanakan dia dihukumkan berdosa.

No comments:

Post a Comment