Saturday, October 22, 2011

Sempurnakan Agama Dengan Perkahwinan.






Firman Allah SWT;

“Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah”. [Al-Nahl:72].

Sempurnakan Agama Dengan Perkahwinan.


Baginda bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani;

“Barangsiapa yang dikurniakan oleh Allah seorang wanita solehah, sesungguhnya Allah telah menyempurnakan sebahagian imannya, maka bertaqwalah dengan sebahagian yang berbaki”.

Perkahwinan merupakan suatu jalan untuk memelihara diri daripada menjadi hamba yang melakukan maksiat kepada Allah SWT. “Al-Zawaj” yang disyariatkan oleh Allah SWT merupakan suatu nikmat yang perlu direbut kerana banyak perkara yang diharamkan oleh Allah SWT menjadi halal dengan perlaksanaan “al-zawaj” tersebut.

Sebagai contoh jenayah zina (persetubuhan haram yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang belum berkahwin) yang diharamkan oleh Allah pada asalnya bertukar menjadi halal dengan dengan perlaksanaan “az-zawaj”. Setelah dinikahkan, kalimah zina tersebut akan bertukar menjadi “al-jima’” iaitu persetubuhan halal yang dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang telah berkahwin.

Islam Agama Yang Meraikan Fitrah.

Firman Allah SWT;

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)”. [Ali-Imran: 14]

Kecenderungan lelaki untuk berkasih sayang dengan seorang perempuan merupakan suatu fitrah yang tidak dapat ditolak kerana ia merupakan suatu kesempurnaan yang diciptakan oleh Allah di dalam diri manusia. Namun, kecenderungan tersebut perlu selari dengan kehendak dan prisip yang telah ditetapkan oleh Islam.

Barat telah mencacatkan fitrah tersebut dengan membenarkan hubungan sejenis yang terang-terangan menyalahi norma kehidupan manusia normal. Hasilnya, bertebaran penyakit-penyakit pelik dan merbahaya dikalangan golongan ini sehingga membuahkan penyesalan yang tiada kesudahan.

Islam datang dengan suatu metod yang cukup indah di dalam meraikan fitrah tersebut. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Rum ayat ke-21;

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”.

Berdasarkan ayat tersebut Allah SWT mengurniakan tiga nikmat bagi manusia yang mengikuti ketetapan yang ditetapkan oleh Allah SWT iaitu;

1. Al-Sakinah (ketenangan hati).
2. Al-Mawaddah (kasih sayang).
3. Al-Rahmah (belas kasihan)

No comments:

Post a Comment