Friday, November 4, 2011

Lima jenis sabar & Pahala Yang Tidak Terhitung



SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah.

Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'.

Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.

Banyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)

Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:

1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi.

Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.

2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.

3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.

4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.

Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.

Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.

Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.

5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.

Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.



Pahala Yang Tidak Terhitung

Firman ALLAH SWT:

“ Hanya disempurnakan kepada orang-orang sabar pahala mereka dengan tiada terhitung.”

(Surah Az Zumar Ayat 10)

Ulasan Ayat :

1)Ayat menunjukkan terlampau banyak balasan yang akan diterima oleh mereka yang sabar hingga tiada dapat dihitung bilangannya.

2)Gandaan lipat ganda pahala itu adalah menurut hakikat atau jiwa orang yang mengerjakan suatu kebaikan atau meninggalkan kejahatan dengan penuh kesabaran.

3)Sabar lawannya tidak sabar. Sifat sabar tiada penghujungnya, jesturu itulah ganjarannya tiada terhitung, kerana itulah sifat sabar sangat sukar untuk dimiliki oleh kita.

4)Orang yang paling baik akhlaknya ialah mereka yang memiliki sifat sabar serta dapat menahan sabar daripada marah.

5)Kita hendaklah berusaha untuk bersifat dengan sifat sabar. Sabar terhadap apa jua urusan ketika diuji dengan bala mahupun nikmat, dan ujian dalam memperjuangkan kesabaran ini selalunya melibatkan orang lain.

6)Manusia sering diuji kesabarannya dengan kerenah manusia, lebih-lebih lagi terhadap orang yang dekatdengan kita. Oleh itu, kita hendaklah memperkuatkan kesabaran dengan sikap perasangka baik serta berlapang dada agar tertutup pintu kemarahan (tidak sabar) terhadap seseorang yang menguji kesabaran kita.

7)Keindahan dan kenikmatan sabar hanya akan dapat dirasai oleh mereka yang dapat melakukan ketaatan walaupun berat serta mereka yang dapat menahan diri daripada perbuatan keji dan munkar.WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment